August 17, 2011

Jejak Rasul 2011 - Legasi Muhammad S.A.W di Eropah Timur

Hari-hari kat TV3 pukul 6.30 petang. Dokumentari ni memang menambat hati. Cara hidup umat Islam kat Rusia agak mencabar, tapi best. Ni yang nak target Rusia pulak nih. Huhu. Kat London dah target, tapi ada pemberontakan. Kat Mesir jugak, ada rusuhan jugak. Mintak-mintak la Rusia tak de. 

Mereka mendiami negara paling sejuk di dunia. Sebahagiannya berada di tanah tinggi. Berdepan cabaran alam untuk meneruskan kehidupan. Ibarat awan hitam, jiwa beragama mereka dibelenggu komunis. Hampir 70 tahun, amalan agama tidak dibenarkan. Kini, suasana berubah. Langit semakin cerah. Generasi mudanya berpeluang mendalami Islam secara terbuka. Mereka legasi Muhammad s.a.w. di Eropah Timur.


Keunikan warna dan bentuk Saint Basil menyerlahkan kewujudannya di tengah kota Moscow. Gereja ortodoks ini mencuri perhatian pengunjung yang berada di tengah kota yang paling padat di Eropah. Dianggarkan lebih 10 juta orang mendiami kota Moscow. Jumlah itu meningkat saban tahun disebabkan peranan Moscow sendiri sebagai pusat kegiatan ekonomi, politik, kebudayaan, pendidikan, dan keagamaan di negara ini.


:: Gereja Ortodoks Saint Basil ::

 Majoriti penduduk di negara ini beragama Kristian Ortodoks Rusia. Mereka berasal daripada keturunan Slavich, bangsa yang dikatakan mendiami benua Eropah. Menjadi ibu kota sebuah kuasa besar dunia, Moscow merakamkan lipatan sejarah Rusia sejak era beraja. Seterusnya zaman revolusi yang membentuk Kesatuan Soviet hinggalah terbinanya persekutuan Rusia hari ini.


Revolusi yang digerakkan oleh golongan berfahaman komunis melakar sejarah dunia abad ke-20. Revolusi itu turut mengangkat Moscow sebagai ibu negara Rusia buat kali ke-2 dan kekal hingga ke hari ini. Di sebalik lipatan sejarah Rusia yang diketahui umum, terdapat denyutan nadi sebahagian penduduknya yang terselindung daripada perhatian dunia.


:: warga Islam Rusia :: 

 Pada tahun 2005, Majlis Mufti Rusia mengumumkan terdapat 23 juta orang Islam daripada pelbahagi etnik di Persekutuan Rusia. Di Moscow sahaja, penghuni Islamnya melebihi angka 2 juta orang. Malah, pasca Soviet menjadikan Islam agama kedua terbesar di Rusia. Persoalannya, siapakah umat Islam Rusia? Apakah fahaman komunis tidak memberi kesan kepada mereka? Dan bagaimana Islam berkembang di benua ini? Jejak Rasul menjawab persoalan itu.


Untuk mengenali siapa umat Islam Rusia, bukan satu misi yang mudah. Jejak Rasul berdepan pelbagai cabaran. Cuaca sejuk dan adakalanya bertukar menjadi ribut salji antara cabaran kami dalam menyesuaikan diri. Sementara penempatan masyarakat Islam di tanah tinggi menguji iltizam Jejak Rasul apabila berdepan saat-saat mencemaskan akibat permukaan jalan yang licin. Masalah komunikasi menambah kesukaran Jejak Rasul dalam mendapatkan maklumat. Bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Rusia. Ia bukan sahaja sukar difahami malah bentuk tulisannya begitu asing buat kami.


Namun, cabaran-cabaran itu tidak segentir rintangan yang dilalui umat Islam di negara bekas komunis ini dalam mempertahankan akidah mereka. Misi Jejak Rasul mendekati legasi Muhammad s.a.w. di Eropah Timur bermula di Moscow. Dengan bantuan penterjemah warga Rusia, Said Saidov, kru Jejak Rasul dibawa ke dataran terkenal negara ini - Dataran Merah atau Red Square.

:: Red Square a.k.a Dataran Merah :: 

Islam agama tertua yang bertapak di Rusia. Menurut sejarawan Rusia, Islam telah lama wujud di Rusia sejak abad ke-8. Malahan, menurut catatan Ibnu Fadhlan dalam ekspedisi dari Baghdad ke Volga, Bulgaria atas arahan Khalifah Ja'afar al-Muktadibillah, jelas menunjukkan terdapat umat Islam yang tinggal di sepanjang Sungai Volga. Di Moscow ini, penempatan awal masyarakat Islam ialah di Kremlin, Dataran Merah ini.

:: Moscow Cathedral Mosque:: 

Kru Jejak Rasul semakin teruja apabila dibawa ke sebuah masjid tidak jauh dari Dataran Merah. Masjid Sorbunaya sebagai Moscow Cathedral Mosque menambah keyakinan kami wujudnya penempatan awal Islam di kota Moscow. Masjid ini dibina sebelum era komunis. Wajah-wajah dimamah usia kelihatan bersungguh mengikuti kelas agama di masjid ini. Mereka generasi Islam yang merasai keperitan semasa larangan perintah agama dikuatkuasakan. Masjid Sorbunaya sendiri ditutup kepada umat Islam ketika itu. Pengalaman pahit di sebalik warna ceria masjid ini, dikongsi bersama waris kepada pengasas Masjid Sorbunaya.


Rauvda, berusia lebih 90 tahun. Pada usia selanjut itu, dia masih mengingati sejarah Masjid Sorbunaya yang diusahakan oleh datuknya. Beliau sempat membacakan surah al-Fatihah sebelum berpisah dengan kru Jejak Rasul. Seterusnya, kru Jejak Rasul meninjau kehidupan generasi Islam selepas era komunis. Masjid Park Pobedy dibina selepas era Kesatuan Soviet. Pembinaan masjid ini ditanggung oleh komuniti Islam tempatan sempena mengingati tentera Islam yang gugur ketika Perang Dunia ke-2.


:: Memorial Mosque in Park Pobedy ::


Terletak dalam kawasan tumpuan pelancong, Masjid Pobedy menggambarkan keutuhan penduduk Islam hari ini di Persekutuan Rusia. Walaupun terdapat 23 juta umat Islam di Rusia, hakikatnya mereka ialah kelompok minoriti. Tetapi kedudukan itu bukan untuk mereka. Kebebasan beragama diamalkan pemerintahan ini dimanfaatkan sepenuhnya. Kini mereka memiliki portal laman sesawang sendiri untuk menyalurkan maklumat Islam. Mereka juga mampu menubuhkan saluran radio bagi memenuhi keperluan pendengar Muslim.


Malah, hari ini umat Islam Rusia lebih mudah mendapatkan bekalan daging dan makanan halal berbanding era Kesatuan Soviet. Yang lebih utama, iklim politik serta dasar terbuka hari ini, membantu kru Jejak Rasul mendalami sejarah kedatangan Islam ke bumi Rusia. Naskhah al-Quran tulisan tangan berusia lebih 400 tahun di institut di sana mencuri perhatian kru Jejak Rasul. Rusia tidak mempunyai sejarah kenabian dan rasul, tetapi Islam menjadi akidah sebahagian penduduknya seawak kurun ke-8M ~ 100 tahun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w..

:: Kaum Tatar di Crimea ::

Persoalannya, bagaimana Islam menambat hati penghuni negara sejuk ini? Bagi menjawab persoalan itu, kru Jejak Rasul mendekati suku kaum Tatar, etnik Islam terbesar di Rusia. Bangsa Tatar membentuk 15% daripada jumlah penduduk Rusia. Mereka memiliki sejarah bangsa budaya sendiri. Walaupun memiliki sejarah sendiri, bangsa Tatar bergadai nyawa mempertahankan bumi Rusia. Mereka menjadi penghuni negara ini sebelum era komunis lagi. Ketika tentera Napoleon Bonaparte mara untuk menawan Moscow, bangsa Tatar membentuk barisan pejuang mereka untuk mematahkan serangan Tentera Napoleon.




Seterusnya, Kru Jejak Rasul bergerak ke Tatarstan, Pusat Islam Persekutuan Rusia bagi mendalami sejarah bangsa Tatar. Masjid Kul Sharif mercu tanda Kazan di Tatarstan. Masa zaman komunis, umat Islam Tatarstan dikekang daripada mengerjakan ibadah sama ada di rumah ataupun di masjid. Yang paling menyedihkan, akidah mereka dipesongkan daripada tauhid kepada ALLAH.
:: Kul Sharif Mosque in Kazan - Russia ::

Kazan ialah nadi pusat Islam Persekutuan Rusia yang diiktiraf pemerintah Moscow. Tetapi satu ketika dulu, Ivan the Terrible, seorang raja Rusia pada kurun ke-16 pernah menawan Kazan. Kejayaan itu dikenang dengan pembinaan Gereja Ortodoks Saint Basil di Moscow. Walaupun berperanan sebagai Pusat Islam Rusia dan majoriti bangsa Tatar beragama Islam, hakikatnya Tatarstan bukan wilayah pertama menerima kehadiran Islam.

:: Ivan the Terrible ::

 Kemudian, kru Jejak Rasul memasuki wilayah bergolak di Banjaran Caucasus bagi mengesan sejarah perkembangan Islam di bumi Rusia. Wilayah ini jarang menerima kehadiran pengunjung asing. Permukaan buminya yang mencabar serta terletak di kawasan terpencil membuatkan ia jarang menerima tetamu. Tetapi kawasan tanah tinggi berhampiran Laut Caspian ini dikatakan lokasi awal menerima akidah Islam.


:: Banjaran Caucasus ::

Penduduk Islam Digestan ialah generasi awal bergelar umat Islam Rusia. Penemuan makam sahabat Rasulullah s.a.w. antaranya Abdul Rahman Ibnu Rabiah, Salban Ibnu Rabiah dan Surakah Ibnu Amru di sebuah bandar dalam wilayah Digestan menguatkan teori Islam berkembang ke Rusia seawal kurun ke-8M. Salah satu bukti nyata kehadiran umat Islam di bumi Derbent ini ialah makam 40 orang sahabat. Mereka pernah bersama Rasulullah dan pernah berjuang bersama-sama Rasulullah untuk menegakkan syiar Islam. Mereka gugur syahid dan dimakamkan di bumi Derbent.


Digestan umpama pintu masuk yang menyebar luas akidah Islam hingga ke Moscow. Penerokaan kru Jejak Rasul di tanah tinggi Caucasus bukan sahaja melengkapkan misi Jejak Rasul malah membuka jalan mengenali cara hidup umat Islam Digestan dan Chechnya. Tarian Lezginka dikatakan simbol penyatuan lebih 35 suku kaum yang mendiami kawasan pergunungan Caucasus.

:: Tarian Lezginka Ala Rusia ::

Selepas Islam tersebar luas di Digestan, cahaya hidayah itu meresapi jiwa penduduk di wilayah berhampiran. Namun, ia tidak melalui laluan yang mudah. Jejak Rasul melepasi sempadan Digestan menuju ke negara jirannya, Chechnya. Walau sering digambarkan sebagai wilayah bergolak, pengalaman yang dialami oleh kru Jejak Rasul sepanjang berada di Grozny, ibu kota Chechnya amat berbeza.


:: Akhmad Kadyrov Grozny Masjid Kubah Tengah ::

Melihat anak-anak Chechnya menghafaz al-Quran, di Madrasah Zelimkhan ini mendorong kami untuk mengenali umat Islam Chechnya lebih dekat. Ibu bapa mereka pernah mengalami detik-detik ketika berada bawah era kesatuan Soviet. Namun, kisah hidup mereka seolah-olah terpisah daripada dunia luar. Banjaran Caucasus membuatkan mereka lebih terpencil walaupun di wilayah inilah bermulanya gelombang pertama penyebaran akidah Islam di Rusia.


Ukraine, destinasi terakhir Jejak Rasul dalam misi mengenali legasi Muhammad s.a.w. di Eropah Timur. Ukraine pernah menjadi anggota Kesatuan Soviet. Ia mengecap era kemerdekaannya selepas pemansuhan Kesatuan Soviet pada 1991. Hari ini, Ukraine tidak termasuk dala Persekutuan Rusia tetapi ia tetap mempunyai ikatan sejarah yang erat terutamanya Keive, ibu negara Ukraine.

Ikatan sejarah antara Ukraine dan Rusia telah wujud sebelum berlakunya Revolusi Bolshevik.Sementara itu, sejarah Ukraine dan perkembangan Islam di benua ini tercatat lebih awal lagi. Ukraine ialah lokasi kedua tercetusnya gelombang penyebaran Islam di Eropah Timur. Cahaya hidayah dari Banjaran Caucasus terpancar ke negara ini selain menerima Islam daripada penghuni tanah tinggi itu. Empayar Uthmaniyah di Turki juga berperanan mengembangkan Islam ke Ukraine. Hari ini, umat Islam Ukraine dikatakan tidak mencapai angka setengah juta orang. Kebanyakan mereka berada di Semenanjung Crimea. Siapakah sebenarnya umat Islam Ukraine dan Persekutuan Rusia? Ikuti pengembaraan Jejak Rasul sepanjang Ramadhan ini.

Credit skrip & penyelidikan: Kru Jejak Rasul 2011

2 comments: