July 15, 2013

Keputusan UPU

Untitled

Alhamdulillah. Setelah berbulan-bulan aku menanti, akhirnya keputusan UPU telahpun dikeluarkan pada Khamis lepas, iaitu 11 Julai 2013. Keputusan UPU dikeluarkan seiring dengan keputusan kemasukan ke USM. 

Sememangnya aku sudah belajar untuk menerima segala keputusan yang Allah tetapkan untukku. Aku tidak kisah sekiranya aku mendapat kos yang tiada kaitan dengan kos semasa di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Selain itu, aku juga tidak berharap untuk memperoleh keputusan UPU memandangkan PNGK di KMPP tidaklah begitu cemerlang.

Memandangkan aku berkerja sekali dengan rakan-rakanku dari KMPP, kami bertiga berpakat untuk menyemak keputusan UPU tepat jam 12 tengah hari pada hari tersebut di dalam bilik stor kasut. Kami hanya menggunakan perkhidmatan mesej ringkas pada ketika itu. Rakanku yang pertama menjerit kegirangan apabila mengetahui dia ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia, disusuli dengan rakanku yang kedua, juga ditempatkan di UKM. Aku bersyukur kepada Allah kerana rakan-rakanku gembira dengan keputusan yang telah diperoleh.

Aku tumpang gembira atas kejayaan mereka. Aku sudah tidak mahu mengambil peduli akan keputusan yang bakal aku terima, asalkan rakan-rakanku gembira. Penantian mesej ringkas dari pihak UPU akhirnya terjawab. Aku membuka mesej tersebut. Perkataan pertama yang ku lihat di situ adalah 'Tahniah!' Aku terkejut dengan pernyataan itu lalu aku scroll sehingga ke bawah dan tertulislah 'Anda berjaya ditawarkan program KS26 di UKM. Layari ...' Alhamdulillah. Aku tidak sangka aku ditawarkan untuk menyambung pelajaranku di universiti yang ternama seperti itu. 

Walaupun aku tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan KS26 itu, aku mencuba untuk belajar menerima setiap keputusan yang ditetapkan-Nya. Sungguh, Dialah sebaik-baik Perancang. Aku melayari internet melalui telefon bimbit untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan KS26. Akhirnya soalanku terjawab. 

Ijazah Sarjanamuda Sains Dengan Kepujian (Biokimia)
 Fakulti Sains dan Teknologi UKM

 Click to preview

Alhamdulillah. Seperti yang aku mahukan. Seperti yang aku pilih. Apabila melihat sahaja perkataan Biokimia, aku tersenyum. Inilah kos yang aku impikan selain Bioperubatan dan Perubatan dan Pembedahan. Tambahan lagi, aku pernah suatu ketika dahulu memasang niat untuk menjadi seorang ahli biokimia atau apa-apa sahaja yang berkenaan dengan Biokimia. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku.

Namun, kejayaan aku ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan melainkan aku melihat ramai rakanku mendapat tawaran di universiti-universiti yang terpilih. Alhamdulillah. Aku gembira apabila melihat mereka gembira. Apabila bertanya kepada rakan-rakanku, ada yang ditawarkan di Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Sarawak dan Univeristi Malaysia Sabah.

Namun, ada juga diantara mereka yang tidak ditawarkan di mana-mana universiti. Aku berharap mereka tabah dengan ketentuan-Nya. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Allah mungkin ada sesuatu yang lebih baik untuk mereka, inshaAllah. Percayalah pada-Nya. Serahkanlah segalanya pada-Nya. Kita mungkin tidak terfikir kenapa Allah tidak membalas permintaan kita. Allah membalas doa kita dengan tiga cara: 

  1. Ya
  2. Ya, tetapi bukan sekarang.
  3. Tidak, Aku ada yang lebih baik untuk Engkau. 

Jangan berputus asa wahai rakanku. Buat rakan-rakanku yang telah menerima tawaran daripada pihak UPU, aku berharap agar kalian janganlah berkecil hati dan bersedih kerana Allah telah tetapkan apa yang terbaik untuk kalian. Ingat, Allah adalah sebaik-baik Perancang.

1 comments: